TRENDING: Eksperimentasi Friday Rule Bursa vs. Nasdaq Read More

TRENDING: Free eBook – Your Best Guide to eToro CopyTrading Read More

TRENDING: Eksperimentasi Friday Rule Bursa vs. Nasdaq v2 Read More

TRENDING: eToro – the most copied investors in January 2021 Read More

TRENDING: Is eToro legally a broker to Nasdaq market? Read More

27/12/2020

SenangSaham: betul ke senang?

Mengupas misteri perniagaan saham. Ada yang kata saham berisiko tinggi, cepat untung cepat rugi, saham untuk orang kaya dan saham ni susah nak faham. Tak kurang pula ada yang mengata saham lah paling senang, boleh mula dengan RM50 dan untung beratus-ratus peratus. Mana satu yang betul ni? Saya cuba kupaskan dalam istilah yang mudah difahami untuk rujukan mereka yang baru nak mencuba. Bagi para otai di luar sana, ambe tumpang menulis.

Ketakutan

Perkara pertama yang mungkin jadi sebutan bagi mereka yang baru nak bermula dalam saham adalah ‘takut’. Takut rugi, takut hilang duit yakni takut hilang modal. Memang betul. Ini adalah perkara paling basic dalam perniagaan saham, jadi rasa takut yang sebegini adalah normal hatta kepada pelabur-pelabur tegar bahkan orang lama sekalipun. Kalau tak takut, tak akan ada istilah money management atau stoploss. Money management adalah satu pelajaran khas dalam ilmu saham bagaimana untuk kita menguruskan risiko a.k.a kerugian. Stoploss juga adalah satu kaedah untuk menghadkan kerugian setakat kemampuan kita.

Jadi sebelum kita mula rasa takut pada saham, ada baiknya kita fahami dari mana datangnya rasa takut berkenaan. Bagaimana kerugian dalam saham boleh berlaku? Dalam perbincangan ini saya hanya merujuk kepada kaedah buy atau membeli sahaja (ada satu lagi kaedah memulakan posisi saham dinamakan short-selling). Kerugian berlaku apabila kita membeli kaunter ABC pada harga RM5 tetapi terpaksa menjualnya semula pada harga RM4 atau kurang dari harga belian tadi. Ada beberapa sebab mengapa kita jadi terpaksa jual saham pada harga yang lebih rendah, contohnya:-

  1. Kita membeli saham menggunakan margin dari bank (wang yang dipinjam dari bank) dan telah sampai tempoh untuk kita membayar semula pinjaman itu, biasanya selepas beberapa hari.
  2. Kita membeli saham menggunakan cash sendiri tetapi harga semakin rendah dan kita terpaksa menjual pada kadar stoploss.

Dalam keadaan pertama, dalam keadaan terdesak seperti ini tidak banyak yang boleh dilakukan selain merelakan kerugian itu. Tetapi keadaan ini dapat dielakkan sama sekali. Kaedah menggunakan margin sangat berisiko dan tidak digalakkan untuk pelabur baru. Cara mengatasi ketakutan ini adalah dengan mengelakkan membeli saham menggunakan margin dari bank. Sebaiknya gunakan cash sendiri. Ada juga yang katakan it’s ok untuk gunakan margin kalau kita buat intraday. Memanglah OK kalau dah cekap dan boleh konsisten dengan intraday. Saya maksudkan untuk mereka yang baru, intraday bukanlah main-main dan ia merupakan permainan bagi mereka yang mahir sahaja. Untuk rujukan, intraday adalah kaedah trading yang mana saham dibeli dan dijual dalam hari yang sama.

Dalam keadaan kedua, kita membeli saham menggunakan cash sendiri. Tapi tetap ada risiko kerugian bila terpaksa jual pada harga lebih rendah pada kadar stoploss atau masa yang diambil oleh sesuatu kaunter untuk pulih kepada harga belian terlalu lama. Contohnya pada 1 Feb kita membeli kaunter ABC pada harga RM5 seunit. Beberapa jam kemudian ia turun ke RM4.90 dan sejak itu tak naik-naik hingga harga dah mencecah RM4. Pada ketika ini kita mengalami kerugian secara susut nilai, tetapi kerugian itu belum dizahirkan ke akaun kita selagi ia tidak dijual. Harga mungkin boleh pulih dan naik ke tahap pulang modal RM5 atau untung pada kadar RM5.50, mungkin. Tetapi masa yang kita spend untuk menunggu pemulihan ini merupakan satu lagi jenis kos dan perlu diambil kira. Ia juga bergantung kepada objektif pembelian saham untuk jangka masa pendek atau panjang. Jika objektif asal adalah jangka masa pendek tapi kita terpaksa menunggu selama 2 tahun untuk breakeven atau pulang modal, maka itu adalah satu tragedi. Jadi bagaimana sebenarnya kita nak atasi keadaan ini? Dalam kes ini kepentingan utama adalah menetapkan jenis trading yang nak dijalankan samada short term atau long term, seterusnya merangka trading plan. Trading plan adalah perancangan secara tepat harga belian, harga jual dan stoploss. Trading plan sebaiknya disesuaikan dengan kaedah pembelian (trading method). Saya akan mengupas lebih lanjut berkenaan trading method pada artikel akan datang.

Okay setakat ni, masih rasa saham tu menakutkan? Jangan kisahkan sangat dengan istilah short-selling, intraday, stoploss, trading plan dan trading method. Point yang nak disampaikan adalah, jika kita faham macam mana gaya game saham ni, Insyallah anda tak akan rasa takut. Kita akan faham dengan cara mempelajarinya. Hakikatnya sepanjang hidup kita tak pernah berhenti belajar. Dari bayi belajar merangkak, belajar berjalan, berlari kemudian belajar di sekolah, masuk kolej, belajar buat kerja dari senior, belajar jadi ibubapa dan seterusnya. Jadi belajarlah.

Orang Kaya

Oleh kerana dalam masyarakat kita kadar penembusan celik saham tidak setinggi berbanding satu lagi masyarakat di Malaysia ini, ramai yang beranggapan penglibatan dalam saham hanya sesuai bagi golongan kaya. Sebenarnya tanggapan begini kurang tepat. Agak selamat untuk kita katakan untuk bermula lama perniagaan saham, perlu ada modal. Sikit atau banyak modal terpulang kepada kecenderungan masing-masing kerana tahap risiko antara individu adalah berbeza.

Yang sikit itu berapa, RM10 atau RM50? Saya pernah nampak statement untuk bermula dengan saham dengan modal RM10. Mungkin ada kebenarannya, tapi secara jujurnya permulaan RM10 agak sukar. Ia lebih kepada retorik atau ungkapan exreme bagi memberi galakan kepada anda untuk bermula, tapi pada hakikatnya kita tahu ada kos-kos lain yang terlibat contoh komisen untuk broker, stamping fee dan sebagainya.

Akan tetapi secara umum saya boleh kongsikan tips mudah untuk mengenalpasti berapa anggaran modal permulaan yang perlu disediakan. Ianya bergantung kepada anggaran pencapaian dan berapa purata hasil keuntungan yang ingin diperolehi sebulan.

Contoh 1:-

Sasaran nilai keuntungan sebulan: RM100

Jika anggaran kadar pencapaian setahun adalah 10%, maka RM100 x 12 bersamaan RM1,200 oleh itu kadar 10% dari RM12,000 akan menghasilkan pulangan yang diinginkan. Ringkasan contoh seperti di bawah:-

Modal RM12,000 memberi purata untung RM100 sebulan jika kadar pencapaian portfolio tahunan 10%.

Modal RM6,000 memberi purata untung RM100 sebulan jika kadar pencapaian portfolio tahunan 20%.

Modal RM3,000 memberi purata untung RM100 sebulan jika kadar pencapaian portfolio tahunan 40%.

Contoh 2:-

Sasaran nilai keuntungan sebulan: RM1,000

Modal RM120,000 memberi purata untung RM1,000 sebulan jika kadar pencapaian portfolio tahunan 10%.

Modal RM60,000 memberi purata untung RM1,000 sebulan jika kadar pencapaian portfolio tahunan 20%.

Modal RM30,000 memberi purata untung RM1,000 sebulan jika kadar pencapaian portfolio tahunan 40%.

[Untuk memudahkan anda membuat pengiraan, sila gunakan bantuan kalkulator ini.]

Persoalan seterusnya adalah, mampukah kita mendapat kadar pencapaian 10,20 atau 40%? Mungkin anda pernah lihat screenshot dari rakan-rakan trader lain yang menunjukkan 100% atau 200% pencapaian dan hati anda amat teruja untuk terus terjun ke dunia saham. Biar saya beritahu kebenarannya. Tak semua yang dilihat itu indah belaka. Ini sebabnya:-

  1. Ada perbezaan antara peratus keuntungan single trade vs. peratus keuntungan portfolio
  2. Biasanya orang lebih cenderung menunjuk keuntungan yang besar dan menyembunyikan kerugian
  3. Floating profit umpama nasi yang ada dalam pinggan, belum tentu selamat masuk ke mulut

Jadi peratus pulangan yang macam mana yang boleh diharapkan melalui saham? Soalan cepu emas yang agak sukar dijawab. Akan tetapi sebagai perbandingan, sekiranya ASB pernah memberikan pulangan 4-8% setahun, manakala Tabung Haji pernah memberikan pulangan 5-10% setahun, maka sasaran penglibatan dalam saham haruslah melebihi benchmark berkenaan, kerana ASB dan Tabung Haji adalah pelaburan yang agak konservatif dan sangat selamat, maka pelaburan saham yang merupakan pasaran equity dan berisiko tinggi haruslah mampu memberikan pulangan yang lebih baik.

Maka persoalan asal berkenaan kalau nak terlibat dalam saham mesti ada banyak duit adalah sesuatu yang sangat subjektif. Anda sebenarnya boleh bermula mengikut kemampuan yang ada berdasarkan anggaran pulangan yang dikehendaki.

Susah Faham

Pernah nampak chart yang dikongsikan dalam group wasap? Atau pernah nampak screen computer rakan trader yang penuh dengan line dan color yang anda sendiri pun tak tahu nak tengok kat mana? Atau pernah hadir ke kursus yang ada sebut tentang technical indicator seperti moving average, MACD, Stochastic atau Bollinger Band? Inilah yang merisaukan ramai orang. Kita nak faham basic saham pun agak susah ditambah pula dengan cerita berkenaan technical indicators.

Yang sebenarnya terdapat 2 perguruan utama kaedah memasuki pasaran iaitu fundamental dan technical. Fundamental merujuk kepada kajian tentang syarikat, prestasi perniagaan atau berita-berita yang berimpak besar. Manakala technical adalah kajian berdasarkan pergerakan harga di atas chart. Ada juga mereka yang menggabungkan keduanya sekali.

Bagi seorang pelabur jangka panjang, mungkin tiada keperluan yang mendesak untuk tahu secara detail berkenaan technical. Oleh kerana objektif pelaburan anda untuk jangka masa panjang contoh 3 tahun akan datang, maka pergerakan harga yang ditunjukkan oleh MACD dalam tempoh seminggu mungkin tidak begitu kritikal.

Namun demikian perlu saya tegaskan anda perlu ada sedikit pengetahuan berkenaan syarikat yang bakal dilabur, melainkan anda adalah seorang technician tahap pakar atau intraday player.

Jadi kesimpulannya anda tak perlu pun jadi technician dengan indicator pelik jika nak melabur saham. Walaubagaimanapun, pengetahuan asas teknikal sudah tentu dapat membantu seseorang trader menilai sesuatu kaunter pada waktu berkenaan.

Masa

Mungkin ramai yang beranggapan terlibat dengan saham akan menjadikan diri kita sibuk dan terpaksa menghadap skrin komputer setiap masa. Anda perlu faham pasaran di Malaysia bermula Isnin-Jumaat dari pukul 9am hingga 5pm. Pasaran US seperti Nasdaq pula dibuka 10.30pm hingga 5am (waktu Malaysia).

Kita boleh gunakan pending order dan tak perlu memeriksa skrin setiap masa. Pending order adalah arahan untuk membeli sesuatu sekuriti berdasarkan perubahan harga. Contoh, beli kaunter ABC yang sekarang didagangkan pada harga RM4.50 sekiranya ia mencecah RM5.00 sebanyak 10 lot.

Selain itu kita juga boleh buat pending order untuk posisi yang sedang didagangkan, contoh jual kaunter ABC apabila ia mencecah harga RM6. Semua ini boleh dipersiapkan lebih awal dan tiada keperluan untuk semak secara kerap.

Jadi, betul lah saham ni senang?

Secara kesimpulannya susah atau senang anda yang akan tentukan. Ia merujuk kepada objektif pelaburan, profail anda sebagai seorang pedagang dan trading method yang henda digunapakai. Oleh kerana trading method yang berbeza memerlukan skill yang berbeza, maka penilaian susah atau senang itu agak kabur.

Umumnya terdapat beberapa jenis trader:-

  1. Intraday

Beli dan jual dalam hari yang sama. Tahap penguasaan ilmu saham biasanya lebih baik dan risiko agak tinggi.

2. Position trader

Nama lain adalah ‘buy and hold’. Trader ini membeli saham mengikut trend dalam jangka masa lebih panjang.

3. Swing trader

Trader ini membeli pasaran dalam keadaan pergerakan harga yang agak kencang di penghujung sesuatu trend. Trades akan berlangsung selama beberapa hari.

4. Scalper

Beli dan jual saham dalam tempoh paling singkat, contoh dalam masa beberapa minit. Ini kerana trader ini hanya mengambil sedikit perbezaan harga dan mempergunakan volume dan ulangan trade untuk memaksimakan pulangan.

Jenis perdagangan di atas serta objektif pelaburan menentukan tahap susah atau senang dalam perbincangan ini. Risiko tetap ada dalam apa keadaan sekalipun, maka ia harus diuruskan dengan baik.

Social Trading

Ikuti perbincangan berkenaan social trading (Dagang saham cara legasi atau sosial?), iaitu konsep mudah perdagangan saham dengan cara menyalin dagangan orang lain yang lebih berpengalaman.

About Author papaya008

Penulis adalah pelabur individu di Bursa Malaysia dan Nasdaq, ikuti perkongsian beliau di sini.

1 Comment

  1. Berapa modal permulaan untuk main saham? – SenangSaham.com 13/01/2021 at 12:50 am

    […] jumlah yang diperlukan untuk bermula? Saya ada menyentuh berkenaan modal di artikel sebelum ini (SenangSaham – betul ke senang?) dan ada juga kalkulator yang saya bina bagi tujuan mendapat anggaran modal bagi yang baru nak […]

    Reply

Leave A Comment to Berapa modal permulaan untuk main saham? – SenangSaham.com Cancel Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *